semalam petang, aku cuba menahan teksi untuk segera sampai ke stesen komuter. jam 7 malam baru dapat. aku ketika itu tersangat-sangat letih. mungkin kerana cuaca agak sejuk akibat hujan. "pergi komuter tak?" lumrah penumpang teksi, mesti tanya dulu sebelum naik. pemandu itu terdiam. "itu dekat carrefour sana kan?" "ya, kat situ," aku menjawab. dan dengan yakin aku pun naik. dek kerana keletihan yang semacam, aku tertidur. tidur-tidur ayam yang boleh tahan enak. nah, jalan di hadapan the summit sesak. seperti biasa. kemudian pemandu teksi itu menukar haluan, menuju ke stesen komuter melalui ss19 dan tembus ke ss15, di depan pusat karaoke neway. ketika itu aku terjaga, samar-samar, tapi masih dapat mengenalpasti lokasi. ketika itu lampu merah. dan kemudian bertukar hijau. pemandu teksi dengan yakin membelok ke kanan. aku masih bertarung dengan kemamaian, cuba menangkap apa yang sedang berlaku. kemudian aku lihat si pemandu menggaru kepala dengan kasar, mungkin bertanya pada diri apa yang sedang dilakukan, atau, mana agaknya jalan ke stesen komuter. aku terus segar. sudah, mana pulak nak dibawanya aku. kemudian dia membelok ke kiri. hah! dah kembali ke jalan dari arah the summit. "bukan tadi depan neway sepatutnya belok ke kiri?" aku bertanya. "ya ka?" si pemandu bertanya kembali, tidak pasti. "ni awak dah patah balik ni!" aku berkata dengan lembut, padahal dah mula rasa marah, ditambah dengan mengantuk yang masih bersisa.
teksi meluncur laju ala-ala pemandu F1. hampir semua kenderaan dilanggarnya. konon-konon pemanduan hebatlah. sampai di carrefour, si pemandu belok ke kanan, dan konon-konon hendak berhenti di kiri jalan. "turun sini boleh aa?" "boleh, tak kisah." kemudian dia membelok ke kiri. aku sangka dia cuba cari tempat untuk berhenti, tapi lepas belok itu, tak ada tanda-tanda dia akan berhenti. "awak nak pergi mana ni? saya nak ke sana!" kata aku sambil menunjukkan arah bertentangan. "oh, itu stesen sana aaa??? tak apa, saya pusing!" ceh, masih nak menawarkan itu ini pada aku. "tak payah, tak payah! berhenti di sini saja! nanti lagi jauh awak pergi!" aku dah mula tertekan dengan si pemandu. si pemandu segera berhenti di kiri jalan. "selalu berapa dia orang caj?" tanya pemandu. "RM5!" kemudian dia berkata, "RM6 boleh aa??" "aa..boleh la!" aku dah malas nak tunggu lama-lama dalam teksi itu. dan aku berjalan ke stesen komuter dengan mulut yang bergerak sama laju dengan langkah kaki aku.
hai, macam mana boleh jadi pemandu teksi kalau tak tahu jalan? elok-elok aku nak cepat, jadi lagi lambat pulak! hish!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan