Isnin, April 14, 2014

Sekejapan di Kuantan.

Ya, setelah merasa bosan asyik rumah-pejabat-rumah, dan seringnya merungut kerana tiada "life", akhirnya aku putuskan untuk mengikut teman baikku ke kampungnya di Kuantan. 

Perjalanan awal pagi penuh kabus begitu menyegarkan. Ah, kalau tingkap kereta dibuka pasti lebih enak lagi. Melayan temanku berbual sepanjang perjalanan walau mata kian terpejam akibat tidur yang belum puas. Tapi begitulah, sekejap mengantuk sekejap segar.
Akhirnya aku tewas. Aku terlelap sebentar selepas lama bertahan. Semakin jauh kami menyelusuri lebuh raya yang terentang di bumi Pahang, semakin aku terpukau dengan suasana berkabus di pagi hari.


Kami tiba di Perkampungan Tok Sira dalam jam 10.30 pagi. Agak keletihan. Tertidur sebentar sebelum keluar meneroka bandar Kuantan. Ya, aku mahu ke Kula Cakes atau Lila Wadi! Aku mahu merasa Dark Chocolate Toblerone Cheese Cake yang si Deris suka amat mempromote di Instagramnya. Tapi, sebelumnya, kami ke Pasaraya Cowboy. Ya, antara pasaraya kegemaran aku di Pahang sana. Nope, tiada yang aku berkenan kali ini walaupun aku nyaris membeli sekotak mug.

Moving on.

Kami ke stadium. Untuk ambil seorang lagi adik temanku. Hah, pertama kalinya aku melihat sendiri Stadium Darul Makmur yang gah itu. Memang gah. Pintu depannya, lagi stadiumnya dicat berwarna warni. Memang sesuailah dengan kebangkitan Pasukan Tok Gajah itu. Ya, semestinya kami sempat saja membeli sehelai kemeja-T setiap seorang meski aku bukanlah penyokong Tok Gajah, apatah lagi aku juga bukan seorang peminat bola sepak, baik tempatan mahupun dunia.

Jadi, wajib jugalah bergambar di tempat yang gah ini. Lagi juga, aku berjalan di antara penyokong Tok Gajah yang memang terkenal dengan semangatnya, hingga jiwa aku diresapi semangat mereka hingga nyaris aku tertarik untuk membeli tiket dan menonton perlawanan yang langsung aku tak fahami. Tapi, bergambar itu harus. 



Ah, semangat sekali hingga sayang hendak meninggalkan tempat itu. Okey, seterusnya, ke Kula Cakes dengan bayangan Toblerone Cheesecake di depan mata. 


Ha, agak kecewa sebab rupanya aku tersalah kek namun rasanya tak mengecewakan langsung! Kepadatannya, rasa berlemaknya, manisnya, Tobleronenya sungguh! Sungguh seksi. Dan aku sukakan dekonya, ruang makan di luar kedai dengan kerusi meja terbuat dari kotak kayu.


Pulang ke rumah, baru aku nampak empat si kecil ini. Aku mula berkira-kira, mungkin tak apa jadi "old cat lady", tapi aku tak mahu. Tak mahu tak mahu! Penat sungguh aku malam itu hingga tak terjamah makan malam yang dah disediakan si ibu. Niat berbaring sebentar langsung jadi ketiduran hingga pagi. Ah, sudah lama aku tak merasa tidur senyenyak itu meski badan berpeluh-peluh tak bermandi. 

Dan tibalah masanya untuk pulang. Walaupun sangat sekejap aku jejak kaki meneroka daerah Kuantan ini, tapi aku gembira. Gembira yang amat, lari sebentar dari wajah biasa negeri kelahiran aku. 


Tapi, sebelum pulang, sempat aku menunaikan hajat. Dark Chocolate Toblerone Cheesecake. Jujurnya, aku rasa Toblerone Cheesecake lebih memuaskan. Tak tahulah, kerana aku makan ketika ia hampir mencair. Panas sungguh Kuantan di siang hari! Itu, wajah gembira aku dan betapa gemuknya aku semalaman di Kuantan. Cukup rehat, senang hati barangkali. Dan si Deris bikin aku menyesal kerana tak mencuba Mango Cheesecake. Baik, aku akan kembali.


Di tepi sungai Pahang. Airnya yang bersih buat aku kepingin mahu berendam di dalamnya. Heh, gila barangkali. Panas amat, mungkin juga. Kerana lihat sajalah betapa menyegarkan ia kelihatan. Aku tersenyum puas, kerana banyak juga aku alami dalam lawatan teramat singkat ini.


Ha, inilah dia, aisi dia, bukan aisi koi. Tapi, kembali itu pasti.