Selasa, Jun 17, 2014

Mimpi Sepi

Hari ini aku merasa sunyi
Yang benar, sejak lewat beberapa hari
Tapi hari ini, sepi itu kian menusuk
Kian merenggut setiap nadi uratku

Sepi kenapa?

Rindukan dia?
Dia yang tak peduli?
Dia yang tak tahu malah tak mengerti
Rasa yang terbina dalam jiwa?

Mengapa?

Mengapa tegar kau memegang erat tangannya?
Mengapa tegar kau genggam kuat jemarinya
Sedang kau sendiri tak pasti
Apakah dia akan membalas genggaman
Jemarimu itu?

Oh, tak pasti. Kerana tak pasti.

Kerana itu kau teguh berharap
Itu yang terjadi
Dia menggenggam jemarimu semula
Malah dengan kedua belah tangannya?

Di suatu hari nanti?

Yang tak pasti itu mimpi
Tapi yang pasti itu....
Ah, aku sendiri kaget 
Gusar, bimbang dibunuh realiti yang pasti
Maka itu, aku terus bermimpi.


Rabu, Mei 14, 2014

Engkau

Engkau itu orangnya tinggi
Wajah tidak setampan putera dari Pahang itu,
tetapi manis lagi menyenangkan mata.
Engkau itu orangnya diam, garang
Tapi senang sekali diajak bicara
Kadang-kala engkau keanak-anakan
Tapi sikap dewasamu begitu meyakinkan
Engkau tampak tidak peduli
tapi mungkin engkau menatangku dalam hati
Mungkin juga tidak.

Mungkin, mungkin, mungkin.

Pandangan matamu itu melemahkan,
malah bikin aku berasa cantik sekali
Aku seperti dipeluk erat
Serasa ada selaput hangat 
yang melindungiku dari bahaya
tiap kali engkau memandangku.

Engkau, engkau, engkau.

Barangkali engkau tak tahu
Tapi mungkin juga engkau sedar
Atau juga mendengar batinku menjerit
Memanggil namamu, menyeru jiwamu dalam perit
Perit menahan rindu, menanggung beban cinta
yang tak bisa terungkap

Jika engkau tahu, 
hari-hari adalah peperangan bagiku
Jika engkau tahu,
dalam hati ini tidak aman
kerana engkau, kerana cinta, kerana rindu
Dan jika engkau tahu
apakah engkau akan datang
dan menyamankan aku dengan tanganmu
dengan pujukan suaramu
dengan matamu yang melemahkan?

Tapi engkau.

Engkau tak mungkin aku miliki
Sedang jiwa aku memberontak, sakit
Apakah cinta tak mengerti atau aku yang tidak peduli?

Tapi engkau.

Engkau selalu di hati
Meski hatimu tak bisa aku curi
Meski kau tak mampu aku miliki.

Jay Harun|9 Mei 2014

Isnin, April 14, 2014

Sekejapan di Kuantan.

Ya, setelah merasa bosan asyik rumah-pejabat-rumah, dan seringnya merungut kerana tiada "life", akhirnya aku putuskan untuk mengikut teman baikku ke kampungnya di Kuantan. 

Perjalanan awal pagi penuh kabus begitu menyegarkan. Ah, kalau tingkap kereta dibuka pasti lebih enak lagi. Melayan temanku berbual sepanjang perjalanan walau mata kian terpejam akibat tidur yang belum puas. Tapi begitulah, sekejap mengantuk sekejap segar.
Akhirnya aku tewas. Aku terlelap sebentar selepas lama bertahan. Semakin jauh kami menyelusuri lebuh raya yang terentang di bumi Pahang, semakin aku terpukau dengan suasana berkabus di pagi hari.


Kami tiba di Perkampungan Tok Sira dalam jam 10.30 pagi. Agak keletihan. Tertidur sebentar sebelum keluar meneroka bandar Kuantan. Ya, aku mahu ke Kula Cakes atau Lila Wadi! Aku mahu merasa Dark Chocolate Toblerone Cheese Cake yang si Deris suka amat mempromote di Instagramnya. Tapi, sebelumnya, kami ke Pasaraya Cowboy. Ya, antara pasaraya kegemaran aku di Pahang sana. Nope, tiada yang aku berkenan kali ini walaupun aku nyaris membeli sekotak mug.

Moving on.

Kami ke stadium. Untuk ambil seorang lagi adik temanku. Hah, pertama kalinya aku melihat sendiri Stadium Darul Makmur yang gah itu. Memang gah. Pintu depannya, lagi stadiumnya dicat berwarna warni. Memang sesuailah dengan kebangkitan Pasukan Tok Gajah itu. Ya, semestinya kami sempat saja membeli sehelai kemeja-T setiap seorang meski aku bukanlah penyokong Tok Gajah, apatah lagi aku juga bukan seorang peminat bola sepak, baik tempatan mahupun dunia.

Jadi, wajib jugalah bergambar di tempat yang gah ini. Lagi juga, aku berjalan di antara penyokong Tok Gajah yang memang terkenal dengan semangatnya, hingga jiwa aku diresapi semangat mereka hingga nyaris aku tertarik untuk membeli tiket dan menonton perlawanan yang langsung aku tak fahami. Tapi, bergambar itu harus. 



Ah, semangat sekali hingga sayang hendak meninggalkan tempat itu. Okey, seterusnya, ke Kula Cakes dengan bayangan Toblerone Cheesecake di depan mata. 


Ha, agak kecewa sebab rupanya aku tersalah kek namun rasanya tak mengecewakan langsung! Kepadatannya, rasa berlemaknya, manisnya, Tobleronenya sungguh! Sungguh seksi. Dan aku sukakan dekonya, ruang makan di luar kedai dengan kerusi meja terbuat dari kotak kayu.


Pulang ke rumah, baru aku nampak empat si kecil ini. Aku mula berkira-kira, mungkin tak apa jadi "old cat lady", tapi aku tak mahu. Tak mahu tak mahu! Penat sungguh aku malam itu hingga tak terjamah makan malam yang dah disediakan si ibu. Niat berbaring sebentar langsung jadi ketiduran hingga pagi. Ah, sudah lama aku tak merasa tidur senyenyak itu meski badan berpeluh-peluh tak bermandi. 

Dan tibalah masanya untuk pulang. Walaupun sangat sekejap aku jejak kaki meneroka daerah Kuantan ini, tapi aku gembira. Gembira yang amat, lari sebentar dari wajah biasa negeri kelahiran aku. 


Tapi, sebelum pulang, sempat aku menunaikan hajat. Dark Chocolate Toblerone Cheesecake. Jujurnya, aku rasa Toblerone Cheesecake lebih memuaskan. Tak tahulah, kerana aku makan ketika ia hampir mencair. Panas sungguh Kuantan di siang hari! Itu, wajah gembira aku dan betapa gemuknya aku semalaman di Kuantan. Cukup rehat, senang hati barangkali. Dan si Deris bikin aku menyesal kerana tak mencuba Mango Cheesecake. Baik, aku akan kembali.


Di tepi sungai Pahang. Airnya yang bersih buat aku kepingin mahu berendam di dalamnya. Heh, gila barangkali. Panas amat, mungkin juga. Kerana lihat sajalah betapa menyegarkan ia kelihatan. Aku tersenyum puas, kerana banyak juga aku alami dalam lawatan teramat singkat ini.


Ha, inilah dia, aisi dia, bukan aisi koi. Tapi, kembali itu pasti. 

Khamis, Mac 27, 2014

mentari

Berdikari

Mungkin aku terlalu berdikari,
Meski tak bisa bikin anak sendiri-sendiri.
Jadi itu, aku bisa bersendiri,
Tanpa takut, tanpa gusar.
Meski lelaki ku puja bergilir ganti
menyinggah di sukma, berangan mencinta.
Mungkin kerana aku terlalu berdikari,
Kerana itu, aku masih bersendiri.

Ahad, Mac 16, 2014

Kedekut atau jimat?

Siang tadi aku mengadu pada mak, perihal aku berkenan sebuah beg tangan di H&M, dengan reka bentuk vintage dan pastinya menarik minat aku. Harganya? RM150.

"Alah, RM150 je? Bukannya RM1,500. Kalau aku, aku ambik je," jawab mak penuh sinis. "Tapi, RM150 tu boleh buat isi minyak 3 minggu mak," jawab aku. "Kau isi minyak tiga minggu untuk nilai tu tapi nanti tetap kena isi balik, kan? Minyak tu tetap habis, kan? Baik kau beli je beg tu, tahan bertahun."

Aku diam. Ada betulnya. Tapi bagi aku, lebih baik aku utama perkara belanja harian dulu. Yalah, beg tu boleh tunggu gaji ke apa ke. Lalu aku pun nekad bersabar dulu.

Entah bagaimana, aku boleh pergi order pula minyak wangi Ralph Lauren Blue 100ml dengan harga RM130 dari The Beautyholics.

Aku masih tak cukup bijak.