Jam sekarang menunjukkan 1.24 pagi. Sepatutnya aku sudah masuk tidur tetapi macam biasa perasaan menggatal untuk online begitu kuat. Nak menaip bloglah kononnya.
Ah, damai betul mendengarkan lagu-lagu dendangan The Carpenters. Ya, baiklah aku mengaku bukan semua lagu mereka aku suka pun. Lalu dengar sajalah lagu-lagu yang menangkap jiwa, bukan begitu? Kadang-kadang melihat kejayaan mereka dalam bidang yang diminati mengundang cemburu juga. Yalah, manakan tidak. Aku masih terkontang-kanting mencari arah tuju hidup, tapi sesetengah orang dah tahu jelas apa yang ingin dikejarnya. Walaupun umur Karen Carpenter tidak panjang, tapi cukup lama legasinya berjalan. Memang bertuah.
Hey, sudah-sudahlah mengintai tingkap hidup orang lain. Bertambah lara jiwa nanti.
Hari ini aku membuat salinan segala dokumen yang diperlukan untuk permohonan pinjaman nanti. Boleh pula terlupa membawa thumbdrive untuk mencetak surat-surat pengesahan. Memang begitulah perangainya. Fokus sangat ke perkara membuat salinan sedangkan surat-surat yang sama pentingnya terluput dari ingatan. Dah tua barangkali. Atau simply lengai.
Kemudian selepas Maghrib aku bergegas pula ke rumah kakak aku yang sulung. Maklumlah, bertugas sebagai pembantu rumahnya lebih kurang macam orang penting untuk sesuatu tugasan. Tugas menghantar anak-anaknya mengaji kemudian menunggu rumahnya sementara menunggu budak-budak itu pulang. Kenapa aku bercerita benda-benda yang bosan ni?
Potong pendek.
Aku pulang ke rumah setelah kakak aku sampai di rumahnya. Aku pulang membawa dua orang dari lima orang anaknya, yang sulung dan yang bongsu. Nak tidur rumah wan katanya. Sampai saja di rumah, kakak aku yang kedua sedang bersedia berangkat pulang. Sempatlah sepupu-sepupu itu berjumpa. Comel tatkala dua budak kecil itu bersalam. Masing-masing bersalam cium tangan masing-masing. Hahaha! Comel. Sedang aku sibuk mencium anak-anak buah aku, aku terasa kakak aku mencuit-cuit lengan aku. Eh, tak pernah-pernah kami bersalam, mengapa pula beria benar dia mencuit lengan aku? Tapi cuitan itu terasa tajam-tajam macam kertas. Ah, rupanya dia menghulur wang belanja. "Tak banyak, ni je," ujarnya tatkala menghulur dua keping wang kertas RM50 kepada aku. Sebelum itu dia bertanya, "Nak tak? Kalau taknak aku ambil balik." "Semoga kau murah rezeki. Terima kasih," ujar aku penuh rasa terharu bercampur sedikit rasa loser.
Sumpah aku sebak. Aku rasa malu.
Tapi itu rezeki yang Allah bagi. Allah tahu kesusahan yang aku alami. Allah timpakan ujian begini kerana Allah tahu aku mampu tempuhinya. Aku pun tak berapa yakin aku boleh. Aku cuma perlu kuatkan hati dan kuatkan kesabaran. Bukannya aku ini loser, cuma belum sampai masa aku lagi. Untuk sampai ke masa aku, banyak perkara dan kelemahan yang aku perlu perbaiki. Aku sedar, kebanyakan kecelakaan dalam hidup aku yang lepas berpunca dari aku juga. Mujur masih tak terlambat untuk aku mulakan hidup baru. Bina kembali diri. Alhamdulillah. Tak apalah masih single pun. Janji kehidupan aku teratur, cukup makan dan pakai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan