Sedar tak sedar dah setahun saya menganggur. Sudah sampai ke tahap benci dengan diri sendiri, rimas sebab seperti menyerah nasib sepenuhnya kepada takdir. Saya tahu kalau saya kata saya jadi begitu kerana trauma pada pengalaman kerja sebelum ini adalah alasan bagi sesetengah orang yang tidak mengerti. Dan saya rasa tidak perlulah saya mengungkit kembali perihal saya mengalami kemurungan selama tempoh itu. Sebab tiada orang yang faham pun. Sebab mereka menyangka ia sama seperti tekanan. Nampak macam sama tapi sebenarnya berbeza sebab murung ini menyebabkan....aih perlukah saya jelaskan lagi? Ia memadam semua keyakinan yang saya ada sehingga saya merasakan saya tidak berguna langsung hingga hendak memula langkah baru dalam hidup pun tidak berani. Itu ringkasnya.
Lalu saya mengambil masa sehingga setahun untuk kembali pulih. Sepanjang tempoh itu berbagai peluang pekerjaan yang menjanjikan masa depan yang cerah melintas di depan mata saya. Adakah saya capai peluang itu? Tidak. Kerana takutnya saya, kerana tidak yakinnya saya dan kerana betapa traumanya saya. Dan saya merasa saya tidak mampu menepati kriteria yang ditetapkan. Bila difikirkan kembali bodohnya saya rasa. Bodohnya kerana kalah kepada ketakutan sendiri. Kalah pada trauma yang mencengkam jiwa. Sedangkan saya sebagai manusia yang berakal tapi tidak mampu melawan ketakutan itu.
Selama setahun itu juga saya bekerja sebagai pembantu rumah untuk kakak saya sendiri. Saya tak tahulah apa pandangan orang lain. Mungkin merasakan ia sangat menyedihkan kerana daripada seorang pereka grafik akhirnya memerah peluh menguruskan rumahtangga orang. Kadang-kadang saya sendiri sedih. Sedih dengan nasib yang tiba-tiba merudum jatuh. Satu keadaan yang tak pernah terjangka sepanjang saya merancang perjalanan hidup saya. Tapi dalam tempoh itu banyak yang saya belajar. Saya menjadi kreatif mereka masakan. Baiklah, bukan reka sangat cuma mix and match segala rencah yang ada dan dijadikan sesuatu yang boleh dimakan. Akhirnya saya semakin cekap di dapur, walaupun masih banyak lauk-pauk yang masih saya perlu pelajari. Saya juga belajar memanfaatkan masa dan menjadualkan kerja saya supaya semuanya siap pada masanya. Cuma baru-baru ini saja terbabas. Entahlah, penat sejak akhir-akhir ini.
Saya tidaklah membiarkan saja hidup saya menjadi orang gaji selama-lamanya. Saya memohon kerja di sana sini. Dari sepenuh masa hingga ke sambilan. Ya, saya turut memohon untuk menyambung lagi pelajaran. Ijazah kedua dalam bidang penulisan artistik. Saya mendapat panggilan temuduga untuk ijazah. Kemudian panggilan temuduga untuk kerja sambilan yang sangat saya nantikan. Kemudian semua senyap. Akhirnya saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran saya. Muncul pula kerisauan baru. Bagaimana untuk menampung pelajaran saya? Sebenarnya saya sudah takut hendak meminjam lagi. Hutang membukit sedang kerja tidak menyebelahi saya. Alhamdulillah saya masih ada sedikit simpanan. Saya tak tahu berapa lama dapat bertahan. Apapun saya berharap pinjaman saya kali ini diluluskan. Kalau tidak terpaksalah saya membatalkan pengajian saya ini.
Saya sendiri tidak pasti saya sedang mengeluh atau apa, tapi, sejujurnya saya penat. Apa yang boleh saya buat pun cuma sabar dan kuatkan kesabaran. Diiringi usaha dan doa, saya harap Allah memberi saya kegembiraan di akhirnya nanti. Nanti bolehlah saya mengarang cerita cantik-cantik sikit. Doakan saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan