kelmarin (ahad), semasa dalam perjalanan pulang dari rumah makcik di kuala lumpur, ketika melalui lebuh raya petaling jaya jika tidak silap, kelihatan seorang lelaki tua dalam lingkungan 60-an, tetapi masih agak tegap, berbangsa India mungkin, sedang "hitch-hiking". jam menunjukkan 11.49 malam. tapi tiada siapa berhenti. bas sudah tentu tiada. aku pula sedang agak laju di lorong tengah. tiba-tiba rasa simpati menyelit di hati.
tetapi.
perbuatan menumpangkan lelaki itu mungkin berisiko tinggi. dengan kadar jenayah rompakan yang semakin aktif dengan pelbagai taktik yang kreatif dan licik, lelaki tadi mungkin satu ancaman buat orang yang membantu. mana tahu ada geng-geng lain sedang menanti habuan sebaik sahaja terdapat kereta yang berhenti. atau mungkin juga lelaki itu perompak persendirian, yang akan bertindak selepas kereta bergerak laju meninggalkan perhentian tersebut. walaupun dia mengepit suratkhabar, siapa tahu kalau-kalau di dalam kocek seluarnya tersimpan pisau, atau mungkin juga pistol? nah, tak pasal-pasal nanti kita ditimpa kecelakaan. terus membenci pepatah "buat baik, dibalas baik".
tetapi.
bagaimana kalau lelaki itu benar-benar memerlukan bantuan? benar-benar mengharapkan ada kereta yang sudi menumpangkannya untuk pulang ke rumah, ke pangkuan keluarga, dan seterusnya enak tidur di atas katil empuk tanpa resah dan runsing? bagaimana pula kalau dia terpaksa bermalam di perhentian bas itu, terdedah dengan segala macam bahaya?
gara-gara jenayah, yang ingin membantu terpaksa mementingkan diri. yang memerlukan bantuan terpaksa terkial-kial menyerah nasib kepada takdir. kalau yang ingin membantu itu mempunyai bekal pertahanan diri yang cukup tidak mengapa. kalau langsung tidak? sebagai perempuan, yang memandu cuma bertemankan ibu yang sudah tua, aku tidak berani menanggung risiko. walaupun pada mulanya aku yang bersimpati lebih ingin menumpangkan lelaki itu kalau aku terperasan kelibatnya lebih awal.
"biarlah polis saja yang membantunya," kata mak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan