Isnin, November 22, 2010

sensitif

adalah sangat bosan memiliki perut yang sensitif yang perlu dimulai dengan makanan lembut-lembut dipagi hari. (ini saya tidak ada masalah, saya memang suka pun.)

sesungguhnya niat tidak membantu apabila anda memiliki perut seperti ini.

anda ingin menikmati makanan berat dipagi hari sebab terpengaruh dengan ketulan-ketulan nugget yang sepatutnya dihidang untuk anak-anak buah anda, di samping sebekas bihun goreng yang nampaknya agak seksi. dan anda bangun tidur dengan perasaan lapar walaupun sebelum tidur itu telah menjamah dua ketul ayam goreng KFC perisa terbaru.

anda pun bersimpuh makan di samping ibu bapa dan anak-anak buah tersayang. bukanlah sepinggan besar pun, cuma guna mangkuk bunga percuma yang diperoleh dari KFC dua tahun yang lepas agaknya. dengan niat supaya sepanjang masa di pejabat sementara sampai waktu rehat, anda dapat bertahan dan boleh bekerja dengan gembira kerana tiada gangguan "muzik" tambahan selain itunes anda.

rupanya usaha anda gagal. perut anda menjadi kembung berangin seperti ribut taufan sedang melanda kerana perut anda gagal menyesuaikan diri dengan makanan seberat itu pada permulaan hari. ekoran serangan itu, anda jadi tidak selesa membuat kerja, dan akibat dari serangan itu, anda dilanda lapar yang teruk, yang turut menyebabkan serangan angin bertambah, tetapi anda tidak berapa berjaya membuangnya (kerana ramainya orang di dalam pejabat).

menyangkakan dengan makan tengahari berlaukkan ayam goreng berempah, sedikit paru dan sayur sawi dapat meredakan, saya dengan yakin makan perlahan-lahan supaya makanan dan angin tidak berentap. usaha ini turut gagal.

kenyang, tetap kenyang. tetapi perut masih berangin. esok pagi baru baiklah nampaknya ni. bukan tak biasa. malam ni pula "birthday party" salah seorang dari 12 anak buah. hei, perut, cepatlah sembuh!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan