Isnin, April 14, 2014

Sekejapan di Kuantan.

Ya, setelah merasa bosan asyik rumah-pejabat-rumah, dan seringnya merungut kerana tiada "life", akhirnya aku putuskan untuk mengikut teman baikku ke kampungnya di Kuantan. 

Perjalanan awal pagi penuh kabus begitu menyegarkan. Ah, kalau tingkap kereta dibuka pasti lebih enak lagi. Melayan temanku berbual sepanjang perjalanan walau mata kian terpejam akibat tidur yang belum puas. Tapi begitulah, sekejap mengantuk sekejap segar.
Akhirnya aku tewas. Aku terlelap sebentar selepas lama bertahan. Semakin jauh kami menyelusuri lebuh raya yang terentang di bumi Pahang, semakin aku terpukau dengan suasana berkabus di pagi hari.


Kami tiba di Perkampungan Tok Sira dalam jam 10.30 pagi. Agak keletihan. Tertidur sebentar sebelum keluar meneroka bandar Kuantan. Ya, aku mahu ke Kula Cakes atau Lila Wadi! Aku mahu merasa Dark Chocolate Toblerone Cheese Cake yang si Deris suka amat mempromote di Instagramnya. Tapi, sebelumnya, kami ke Pasaraya Cowboy. Ya, antara pasaraya kegemaran aku di Pahang sana. Nope, tiada yang aku berkenan kali ini walaupun aku nyaris membeli sekotak mug.

Moving on.

Kami ke stadium. Untuk ambil seorang lagi adik temanku. Hah, pertama kalinya aku melihat sendiri Stadium Darul Makmur yang gah itu. Memang gah. Pintu depannya, lagi stadiumnya dicat berwarna warni. Memang sesuailah dengan kebangkitan Pasukan Tok Gajah itu. Ya, semestinya kami sempat saja membeli sehelai kemeja-T setiap seorang meski aku bukanlah penyokong Tok Gajah, apatah lagi aku juga bukan seorang peminat bola sepak, baik tempatan mahupun dunia.

Jadi, wajib jugalah bergambar di tempat yang gah ini. Lagi juga, aku berjalan di antara penyokong Tok Gajah yang memang terkenal dengan semangatnya, hingga jiwa aku diresapi semangat mereka hingga nyaris aku tertarik untuk membeli tiket dan menonton perlawanan yang langsung aku tak fahami. Tapi, bergambar itu harus. 



Ah, semangat sekali hingga sayang hendak meninggalkan tempat itu. Okey, seterusnya, ke Kula Cakes dengan bayangan Toblerone Cheesecake di depan mata. 


Ha, agak kecewa sebab rupanya aku tersalah kek namun rasanya tak mengecewakan langsung! Kepadatannya, rasa berlemaknya, manisnya, Tobleronenya sungguh! Sungguh seksi. Dan aku sukakan dekonya, ruang makan di luar kedai dengan kerusi meja terbuat dari kotak kayu.


Pulang ke rumah, baru aku nampak empat si kecil ini. Aku mula berkira-kira, mungkin tak apa jadi "old cat lady", tapi aku tak mahu. Tak mahu tak mahu! Penat sungguh aku malam itu hingga tak terjamah makan malam yang dah disediakan si ibu. Niat berbaring sebentar langsung jadi ketiduran hingga pagi. Ah, sudah lama aku tak merasa tidur senyenyak itu meski badan berpeluh-peluh tak bermandi. 

Dan tibalah masanya untuk pulang. Walaupun sangat sekejap aku jejak kaki meneroka daerah Kuantan ini, tapi aku gembira. Gembira yang amat, lari sebentar dari wajah biasa negeri kelahiran aku. 


Tapi, sebelum pulang, sempat aku menunaikan hajat. Dark Chocolate Toblerone Cheesecake. Jujurnya, aku rasa Toblerone Cheesecake lebih memuaskan. Tak tahulah, kerana aku makan ketika ia hampir mencair. Panas sungguh Kuantan di siang hari! Itu, wajah gembira aku dan betapa gemuknya aku semalaman di Kuantan. Cukup rehat, senang hati barangkali. Dan si Deris bikin aku menyesal kerana tak mencuba Mango Cheesecake. Baik, aku akan kembali.


Di tepi sungai Pahang. Airnya yang bersih buat aku kepingin mahu berendam di dalamnya. Heh, gila barangkali. Panas amat, mungkin juga. Kerana lihat sajalah betapa menyegarkan ia kelihatan. Aku tersenyum puas, kerana banyak juga aku alami dalam lawatan teramat singkat ini.


Ha, inilah dia, aisi dia, bukan aisi koi. Tapi, kembali itu pasti. 

Khamis, Mac 27, 2014

mentari

Berdikari

Mungkin aku terlalu berdikari,
Meski tak bisa bikin anak sendiri-sendiri.
Jadi itu, aku bisa bersendiri,
Tanpa takut, tanpa gusar.
Meski lelaki ku puja bergilir ganti
menyinggah di sukma, berangan mencinta.
Mungkin kerana aku terlalu berdikari,
Kerana itu, aku masih bersendiri.

Ahad, Mac 16, 2014

Kedekut atau jimat?

Siang tadi aku mengadu pada mak, perihal aku berkenan sebuah beg tangan di H&M, dengan reka bentuk vintage dan pastinya menarik minat aku. Harganya? RM150.

"Alah, RM150 je? Bukannya RM1,500. Kalau aku, aku ambik je," jawab mak penuh sinis. "Tapi, RM150 tu boleh buat isi minyak 3 minggu mak," jawab aku. "Kau isi minyak tiga minggu untuk nilai tu tapi nanti tetap kena isi balik, kan? Minyak tu tetap habis, kan? Baik kau beli je beg tu, tahan bertahun."

Aku diam. Ada betulnya. Tapi bagi aku, lebih baik aku utama perkara belanja harian dulu. Yalah, beg tu boleh tunggu gaji ke apa ke. Lalu aku pun nekad bersabar dulu.

Entah bagaimana, aku boleh pergi order pula minyak wangi Ralph Lauren Blue 100ml dengan harga RM130 dari The Beautyholics.

Aku masih tak cukup bijak.

Sabtu, Julai 13, 2013

Perkembangan Setakat Ini

Assalamualaikum. Ada sesiapa kat sini?

Okay. Bulan Februari tempoh hari aku ada bercerita tentang sambung belajar dan juga bekerja secara sambilan. Dan seperti yang dijangka, ujian mendatang dengan hebat sehingga aku hampir diserang depresi sekali lagi.

Pembelajaran di fakulti tersebut yang terletak jauh dari bandar, dan perjalanan dari rumah ke sana yang mengambil masa hampir setengah jam dan terpaksa berjalan jauh ke fakulti, sangat memenatkan. Tak tahulah mungkin kerana aku pun dah masuk awal 30-an. Ditambah pula dengan pelbagai aktiviti yang perlu disertai dan aku pula punya banyak komitmen yang perlu dipenuhi membuat aku memikirkan banyak kali tentang keputusan mengambil ijazah kedua ini. Lagi pula, tuntutan kerja sambilan turut perlu aku penuhi, kalau tidak mana datangnya dana untuk menampung pelajaran, kan? Belanja minyak, makan dan sebagainya.

Hari-hari aku berkejar ke fakulti, tanpa rehat dan makan yang cukup, kemudian berkejar pula ke pejabat. Mungkin aku sebenarnya tidak kuat, atau tak menguatkan semangat tapi sejujurnya aku sangat penat. Dan ia seterusnya memberi kesan kepada jiwa aku yang masih dalam penyembuhan dari depresi. Setelah dua kali dihalau dari kelas kerana lewat sampai, akhirnya aku membuat keputusan dan berbincang dengan beberapa orang kuat di belakang aku. 

Sedih, memang sedih. Tapi, aku terpaksa lepaskan salah satu. Setelah difikirkan dengan mendalam dan mengambil kira setiap risiko, aku nekad melepaskan ijazah kedua. Lagipun, aku sudah memiliki ijazah pertama, tak perlulah tamak sangat nak ambil ijazah kedua semata-mata dah tak tahu nak buat apa dengan hidup aku. Dan setelah memutuskan untuk melepaskan ijazah kedua ini, serta merta aku terasa beban berat telah diangkat dari bahu aku. Aku lega, aku kembali senyum, aku kembali bertenaga.

Merenung kembali.
Dalam sebulan sebelum Tuhan kurniakan aku kedua-dua kehendak aku secara serentak, keimanan aku merudum kerana aku belum mendapat apa yang aku mahu. Aku merajuk dengan Tuhan, sedangkan aku pun tidak seberapa sumbang bakti yang aku curahkan kepada agama. Tapi akhirnya Tuhan berikan kedua-duanya dalam jarak masa yang dekat. Aku gembira, tapi aku tak sedar di situlah ujian sebenar. Adakah aku bijak membuat pilihan, atau aku buta-buta mengambil kedua-duanya dengan tamak dan menyangka aku sanggup melakukannya? 

Setelah ditunjukkan akibat daripada ketamakan itu, seperti kisah di atas, aku akhirnya sedar yang kita sepatutnya berusaha dan bertawakal dan berharap ehsan Allah dalam menentukan yang terbaik untuk diri kita. Bukan dengan merajuk-rajuk dan memaksa-maksa Allah memenuhi permintaan kita, sedang kita sendiri tak tahu apa yang terbaik bagi kita, walaupun kita sangkakan apa yang kita mahukan itu adalah terbaik bagi kita.

Dan bila merenung kembali kedua-dua permintaan aku yang dipenuhi oleh Allah secara serentak, aku melihatnya sebagai, "Ha, nak sangat, kan? Nah, ambil. Ambil dua-duanya."
Jadi, aku pening kerana terpaksa memilih antara dua. Alhamdulillah, aku telah membuat keputusan yang betul, rasanya pertama kali dalam hidup aku dapat buat keputusan yang betul. Alhamdulillah atas ilmu yang telah Allah, dengan rahmat dan ehsan-Nya berikan kepada aku.

Lain kali aku akan ceritakan pula tentang pekerjaan aku. Jumpa lagi.

Assalamualaikum.


Jumaat, Februari 15, 2013

Jumaat gemilang.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Permintaan aku ditunaikan oleh-Nya. Pertolongan-Nya sampai di saat tepat. Allah mengizinkan rancangan aku berjalan seperti yang dirancangkan. Dan mendapat kerja yang sangat aku idamkan? Itu adalah bonus terbesar dalam hidup, cukup besar walaupun sekadar sambilan. Dapat juga aku menampung perbelanjaan pelajaran. Alhamdulillah.

Sudah semestinya ada ujian yang akan datang bersama dengan approval tersebut. Aku berdoa semoga ujian itu tidak berat dan mudah untuk aku atasi. Dan aku berharap pada kekuatan diri untuk menempuhnya. Heh, hentikan segala tangisan kelemahan dan keluh kesah. Things will go right when you don't dwell in your unfortunate fate. Aku dapat rasa aku akan bergelut dengan masa. Tak apa, aku akan berusaha dan Allah pasti akan bantu. 

Percaya dan yakin.


Berpagi-pagi.

Kata orang-orang tua, berpagi-pagi itu membuka pintu rezeki. Malam semalam aku berbincang dengan seorang sahabat tentang perkara ini, sementelah masing-masing pun kena fuck dengan kehidupan. Jadi kami cuba mencari relevannya berpagi-pagi itu rezeki mudah masuk, sebab selama ini pun bangun pagi pergi kerja tetap kena fuck juga dengan kehidupan.

Sementara dia sedang merungut tentang ketidakrelevannya berpagi-pagi dengan pintu rezeki, aku mengutarakan teori aku yang sebenarnya ia adalah tentang sarapan pagi. Biasanya di awal pagi itu bukankah sarapan masih banyak, masih penuh di meja. Tentulah kenyang perut hingga ke tengah hari. Kalau bangun di kala matahari sudah meninggi di atas kepala, nah, bukankah meja sudah dikemas, segala sarapan yang enak itu telah langsai dilahap oleh si berpagian. Lalu berlaparlah kau sampai ke tengah hari. Itu teori aku. Dan aku merasakan itu teori yang bijak yang aku keluarkan.

Pagi ini, aku bangun dan aku terfikir.

Aku ada urusan itu ini untuk menguruskan pinjaman pendidikan aku. Anda semua pun ada pelbagai urusan yang perlu diselesaikan. Jadi, aku mula memahami yang dikatakan rezeki itu tidaklah semestinya wang yang mencurah masuk.Ataupun sarapan enak penuh meja.  Kalau pagi-pagi berurusan menyelesaikan itu ini adalah lebih mudah sebab pagi-pagi semua orang masih segar, tenaga masih tip top. Muka masih manis di tahap optimum. Jadi urusan pun mudah. Tiada yang marah-marah. Tiada yang tertekan. Tiada yang merungut terpaksa datang semula esok sebab orang yang kita sedang berurusan dengan itu sudah menggelabah hendak pulang. Itupun salah satu pintu rezeki juga. Dipermudahkan urusan.

Memang lembab kepala otak aku hendak memahami segala benda yang dilarang dan digalakkan orang tua. Masalahnya aku pula masih berlengah menguruskan urusan penting aku. Dadada.

Nota kaki ayam: Bagaimanapun aku ada sedikit anti dengan petua mereka.