Sabtu, Julai 13, 2013

Perkembangan Setakat Ini

Assalamualaikum. Ada sesiapa kat sini?

Okay. Bulan Februari tempoh hari aku ada bercerita tentang sambung belajar dan juga bekerja secara sambilan. Dan seperti yang dijangka, ujian mendatang dengan hebat sehingga aku hampir diserang depresi sekali lagi.

Pembelajaran di fakulti tersebut yang terletak jauh dari bandar, dan perjalanan dari rumah ke sana yang mengambil masa hampir setengah jam dan terpaksa berjalan jauh ke fakulti, sangat memenatkan. Tak tahulah mungkin kerana aku pun dah masuk awal 30-an. Ditambah pula dengan pelbagai aktiviti yang perlu disertai dan aku pula punya banyak komitmen yang perlu dipenuhi membuat aku memikirkan banyak kali tentang keputusan mengambil ijazah kedua ini. Lagi pula, tuntutan kerja sambilan turut perlu aku penuhi, kalau tidak mana datangnya dana untuk menampung pelajaran, kan? Belanja minyak, makan dan sebagainya.

Hari-hari aku berkejar ke fakulti, tanpa rehat dan makan yang cukup, kemudian berkejar pula ke pejabat. Mungkin aku sebenarnya tidak kuat, atau tak menguatkan semangat tapi sejujurnya aku sangat penat. Dan ia seterusnya memberi kesan kepada jiwa aku yang masih dalam penyembuhan dari depresi. Setelah dua kali dihalau dari kelas kerana lewat sampai, akhirnya aku membuat keputusan dan berbincang dengan beberapa orang kuat di belakang aku. 

Sedih, memang sedih. Tapi, aku terpaksa lepaskan salah satu. Setelah difikirkan dengan mendalam dan mengambil kira setiap risiko, aku nekad melepaskan ijazah kedua. Lagipun, aku sudah memiliki ijazah pertama, tak perlulah tamak sangat nak ambil ijazah kedua semata-mata dah tak tahu nak buat apa dengan hidup aku. Dan setelah memutuskan untuk melepaskan ijazah kedua ini, serta merta aku terasa beban berat telah diangkat dari bahu aku. Aku lega, aku kembali senyum, aku kembali bertenaga.

Merenung kembali.
Dalam sebulan sebelum Tuhan kurniakan aku kedua-dua kehendak aku secara serentak, keimanan aku merudum kerana aku belum mendapat apa yang aku mahu. Aku merajuk dengan Tuhan, sedangkan aku pun tidak seberapa sumbang bakti yang aku curahkan kepada agama. Tapi akhirnya Tuhan berikan kedua-duanya dalam jarak masa yang dekat. Aku gembira, tapi aku tak sedar di situlah ujian sebenar. Adakah aku bijak membuat pilihan, atau aku buta-buta mengambil kedua-duanya dengan tamak dan menyangka aku sanggup melakukannya? 

Setelah ditunjukkan akibat daripada ketamakan itu, seperti kisah di atas, aku akhirnya sedar yang kita sepatutnya berusaha dan bertawakal dan berharap ehsan Allah dalam menentukan yang terbaik untuk diri kita. Bukan dengan merajuk-rajuk dan memaksa-maksa Allah memenuhi permintaan kita, sedang kita sendiri tak tahu apa yang terbaik bagi kita, walaupun kita sangkakan apa yang kita mahukan itu adalah terbaik bagi kita.

Dan bila merenung kembali kedua-dua permintaan aku yang dipenuhi oleh Allah secara serentak, aku melihatnya sebagai, "Ha, nak sangat, kan? Nah, ambil. Ambil dua-duanya."
Jadi, aku pening kerana terpaksa memilih antara dua. Alhamdulillah, aku telah membuat keputusan yang betul, rasanya pertama kali dalam hidup aku dapat buat keputusan yang betul. Alhamdulillah atas ilmu yang telah Allah, dengan rahmat dan ehsan-Nya berikan kepada aku.

Lain kali aku akan ceritakan pula tentang pekerjaan aku. Jumpa lagi.

Assalamualaikum.